Online Diary Secret Of Syazana
FITNAH AKHIR ZAMAN


Bertaqwalah kepada Allah SWT dan ingatlah sekelian bahawa keselamatan 
dan kebahagiaan kita hanya bergantung kepada keimanan dan ketaqwaaan 
kita kepada Allah SWT semata-mata.

Dalam arus pembangunan dan kemajuan, yang pesat di jalankan dewasa ini, 
umat Islam perlu berhati-hati agar mereka tidak terjatuh ke dalam fitnah yang 
berlaku secara terang-terangan di hadapan mata mereka serta yang berlaku 
tanpa di sedari dan tanpa dilihat dengan mata kasar mereka.
 Islam tidak memusuhi kemajuan dan pembangunan yang dilakukan oleh 
manusia tetapi Islam menetapkan agar pembangunan dan kemajuan di asas 
dan dikawal oleh keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Allah SWT telah menegaskan dalam surah al Anfal ayat 28, yang bermaksud:

"Dan ketahuilah kamu bahawa sesungguhnya harta-harta kamu dan 
anak-anak kamu adalah fitnah (ujian). 
Dan sesungguhnya Allah di sisiNya balasan yang sangat besar."

Harta benda dan anak-anak adalah nikmat daripada Allah SWT 
sekiranya di urus dan dijaga  dengan baik dan mengikut dasar-dasar 
yang ditetapkan oleh Islam. Seandainya harta benda dan anak-anak tidak 
diurus dan dijaga dengan baik seperti yang dikehendaki Islam, ia boleh 
memudaratkan kehidupan seseorang muslim dari segi keimanan dan 
ubudiyah-nya kepada Allah SWT dan boleh berlaku kelalaian dalam 
melaksanakan tanggung-jawabnya sebagai Muslim.


Awaslah sentiasa dengan fitnah-fitnah yang berlaku melalui percakapan, 
fitnah pekerjaan, fitnah aqidah dan ideologi yang menyesatkan, fitnah menyaksikan kemung- 
karan dan maksiat yang berlaku di hadapan mata kerana semua bentuk fitnah 
tersebut boleh menghalang  dan menyekat pembangunan dan perlaksanaan 
Islam sebagai ad-din (sistem hidup). Umat Islam sendiri boleh menghakis keimanan 
dan ketaqwaan kita dan sekaligus melemahkan ubudiyah kita kepada Allah SWT. 
Dalam usaha menyekat fitnah-fitnah ini kita perlu memahami dua perkara asas :

1.     Memahami Islam sebagai ad-din melalui sumber-sumber yang muktabar 
atau dalam pengertian lain yang lebih khusus, memahami Islam malalui al-Quran 
dan Sunnah ar-Rasul SAW. Mempelajari   Islam daripada ulamak-ulamak 
yang jelas kefahaman mereka mengenai Islam serta keiltizaman  mereka 
dengan ajaran Islam 
dalam sebarang suasana. Dalam memahami Islam kita perlu belajar dan 
berakhlak Islam serta iltizam dengan ajarannya.

2.     Memahami keadaan yang ada sama ada Islamik atau tidak. 
Dalam perkataan lain memahami realiti dari segi aqidahnya, ibadahnya, 
syariatnya, akhlaknya dan nilai-nilai lain. Adakah ia berasaskan Islam atau pun tidak?


Rasulullah SAW mengingatkan kita agar mengelakkan diri daripada terjatuh 
dalam fitnah yang menimpa umatnya laksana malam yang gelap gelita 
dengan sabda baginda yang bermaksud:

"Bersegeralah kamu mengerjakan amalan-amalan bagi menolak fitnah 
yang datang seperti kegelapan malam yang gelap gelita.
 Pada sebelah pagi seseorang itu beriman dan pada sebelah petangnya ia menjadi kafir 
dan pada sebelah petangnya ia beriman dan pada sebelah paginya ia menjadi kafir. 
Dia menjual agamanya dengan harta benda dunia."

Sabda Rasul SAW lagi berhubung dengan fitnah yang bermaksud:

"Masa akan menjadi dekat (pendek), ilmu akan diangkat, fitnah akan lahir, 
dicampakkan akan sifat bakhil dan berlaku dengan banyaknya ‘harju’. 
Maka mereka bertanya: Wahai Rasul, apakah maksud harju. 
Baginda menjawab: harju adalah pembunuh."



Sebenarnya  apa yang dinyatakan oleh Rasul SAW di dalam hadis baginda,
 telahpun berlaku di dalam realiti kita hari ini. Ilmu telah diangkat atau ditarik balik. 
Ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu ad-din atau ilmu syarak yang boleh
 memandu orang Islam kepada kebenaran, ilmu yang boleh menyelamatkan 
mereka daripada azab api neraka di akhirat kelak. Selain itu berlaku pembunuhan di sana sini.

Di dalam realiti sekarang, sungguh kurang ulamak-ulamak rabbaniyun 
(ulamak-ulamak yang takut kepada Allah SWT) yang memuliakan sifat-sifat zuhud,
 wara' dan sentiasa mengikut panduan Ilahi, menjadikan baginda SAW 
dan khulafa ar-Rasyidin sebagai panduan dan ikutan mereka, beramal 
dengan panduan al- Quran yang berbunyi: "Sesungguhnya  pada diri Rasul SAW
 itu ikutan yang baik bagi kamu" dan beramal dengan hadis yang bermaksud:

"Hendaklah kamu beramal dengan sunnahku dan sunnah khulafa ar-Rasyidin,
 Mahdiyin selepas aku dan gigitlah ia dengan geraham kamu 
(yakni peganglah kuat-kuat dan janganlah lepaskan dia."

Sidang Jumaat yang dihormati sekelian,

Untuk menjaga diri daripada terjatuh ke dalam keadaan fitnah atau pengaruh kebatilan, 
Huzaifah pernah berkata kepada Rasul SAW dengan katanya: 
"Adakah selepas kebaikan ini akan datang pula kejahatan?" Baginda menjawab; 
‘Ya’, ada tetapi bercampur dengan ‘dakhan’". 
Huzaifah bertanya, "Apakah ‘dakhan’ itu?".  
Baginda menjawab, "Kaum atau golongan yang mengambil sunnah
 yang lain daripada sunnahku dan mengambil petunjuk lain daripada petunjukku. 
Kamu kenal mereka dan hendaklah kamu tentang mereka". 
Huzaifah bertanya lagi, "Apakah selepas ini ada keburukan lagi?" 
Baginda menjawab, ‘Ya’ ada iaitu pendakwah-pendakwah di tepi pintu neraka. 
Barangsiapa yang menyahut dakwah mereka, mereka akan menolaknya ke dalam neraka." 
Kata Huzaifah, "Bolehkah beri tahu sifat mereka, wahai Rasul SAW?" 
Baginda bersabda, "Mereka adalah sama warna kulitnya dengan
 kamu dan bercakap dengan bahasa kamu".


Rasul SAW memberi tahu umatnya tentang fitnah kehilangan sifat
 amanah dan paling susah untuk mendapat seorang yang bermaksud beramanah. 
Sabda Rasul SAW bermaksud:

"Seorang manusia masing-masing membuat janji dan hampir tidak 
terdapat seorang pun yang menunaikan janjinya."

Seterusnya Rasul SAW menjelaskan bagaimanakah amanah 
Allah Subhanahu Wata’ala disia-siakan. Suatu hari seorang Arabi 
datang menemui Rasul SAW dan bertanya, "Bilakah akan berlaku kiamat?" 
Maka baginda menjawab, "Bila amanah di sia-siakan maka tunggulah kiamat (kehancuran)." 
Arabi itu bertanya lagi, "Bagaimanakah amanah disia-siakan?" 
Rasul SAW bersabda, "Sekiranya sesuatu urusan itu diserahkan kepada
 bukan ahlinya maka tunggulah kiamat (yakni kehancuran)."


Bagi menyekat fitnah yang menyerang umat Islam dari segenap penjuru, 
maka perlulah umat Islam hari ini memperkuat dan memeperkemaskan 
benteng pertahanan mereka supaya tidak mudah terpedaya dengan segala macam fitnah 
yang disebutkan tadi. Firman Allah SWT dalam surah al-AnFal ayat 25 bermaksud:

"Jagalah olehmu akan fitnah yang tidak menimpa ke atas mereka 
yang zalim semata-mata dan ketahuilah bahawa Allah sangat dahsyat siksaan Nya."

Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment